Tuesday, January 19, 2010

Isu kalimah “Allah” – kekusutan yang kita sendiri menciptanya!

Telah menjadi satu kebiasaan saya mendengar siaran radio IKIM dalam perjalan pergi dan balik kerja. Di akhir-akhir ini, banyak perbincangan tertumpu kepada isu penggunaan kalimah "Allah". Di antara jemputan yang telah 2 minggu dipanggil untuk mengupas isu ini ialah En. Md. Asham B. Ahmad, Fellow IKIM. Saya mendengar kupasan isu ini dengan penuh minat dan saya dapati En. Md. Asham adalah seorang yang agak berpengetahuan dan terpelajar.

Walaubagaimanapun, saya berpendapat masih ramai di kalangan orang-orang yang berpengetahuan seperti En. Asham dan kebanyakan penceramah-penceramah yang cuba menjelaskan isu ini juga keliru dengan isu yang sebenar. Seperti yang dijelaskan oleh En. Asham, terdapat orang Islam sendiri yang menyokong penggunaan kalimah "Allah" oleh orang yang bukan Islam dan di kalangan mereka ini ialah orang-orang yang berserban dan berjubah yang diistilahkan oleh En. Asham sebagai "ustaz salah asuhan". Berdasarkan maklumat yang dikongsi En. Asham, saya amat yakin beliau merujuk kepada Datuk Nik Aziz, menteri besar Kelantan.

Saya bukanlah seorang ustaz dan saya amat dangkal dalam pengetahuan agama tetapi saya cenderung untuk memahami sesuatu isu agama dengan teliti dan cuba mencari jalan penyelesaian kepada kekusutan yang melanda umat Islam. Mungkin apa yang En. Asham pertahankan adalah sesuatu yang benar tetapi agak tidak wajar untuk memberi gelaran "ustaz salah asuhan" kepada mereka yang berlainan pendapat dengan beliau dan memperlekehkan ilmu orang yang mungkin lebih luas pengetahuannya.

Apa yang dinyatakan oleh Ustaz Asri (bekas mufti Perlis) dalam tulisannya adalah agak jelas. Sesiapa sahaja yang cuba memahami tulisan itu tanpa prasangka dan niat untuk cuba membangkang akan dapat memahami intipati dan dapat menerima hujah-hujah beliau dengan mudah. Walaupun demikian, nukilan itu tidak menjelas dan menjawab segala persoalan yang timbul sepenuhnya.

Saya merayu agar semua yang membaca tulisan saya yang tidak seberapa ini untuk cuba memahami apa yang saya ingin ketengahkan dan menilai dengan ilmu dan kepintaran akal yang dikurniakan Allah supaya kita tidak terperangkap di dalam jerangkap yang kita sendiri bina.

Apakah isu yang sebenar?

Isunya adalah penggunaan kalimah “Allah” yang tidak tepat dengan maksudnya atau dengan maksud yang tidak betul.
Siapa yang hendak menggunakan kalimah itu tidak penting tetapi jika ianya hendak digunakan, ia perlu digunakan dengan maksud dan pengertian yang betul dan bertepatan dengan definasi perkataan tersebut.
Bukan sahaja perkataan “Allah”, malah perkataan-perkataan lain seperti “kereta” jika digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang lain dari kereta adalah salah.

Perkataan “Allah” mempunyai definasi yang amat jelas dan dijelaskan lagi dengan Al-Quran dalam surah Al-Ikhlas. Definasi ini termaktub di dalam Al-Quran dan telah diterjemahkan dengan makna “Satu-satunya Tuhan yang berhak disembah”, Allah yang esa (tunggal), yang menjadi tempat bergantung segala makhluk, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, yang tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya.

Dengan difinasi yang sejelas ini, jika ada mana-mana pihak yang hendak menggunakannya, mereka perlu menggunakanya dengan maksud dan pengertian yang tersebut dan jika sebarang penggunaan yang membawa maksud yang berbeza, mereka boleh dikenakan tindak yang tegas.

Dengan penjelasan ini, perjuangan umat Islam sekarang perlu ditukar daripada berjuang untuk tidak membenarkan pihak lain menggunakan perkataan “Allah” kepada perjuangan menuntut supaya diadakan satu undang-undang untuk membolehkan tindakan mahkamah diambil ke atas mana-mana pihak yang menggunakan kalimah-kalimah bersangkutan Islam dengan cara yang salah atau mengelirukan. Tindakan tersebut termasuk membatalkan permit penerbitan, hukuman penjara, permohonan maaf secara terbuka atau lain-lain tindakan yang sesuai.

Cara ini dapat memastikan mana-mana pihak yang menggunakan perkataan-perkataan ini akan menggunakannya dengan maksud yang betul dan menepati pengertian perkataan tersebut. Sebarang kekeliruan yang sengaja ditimbulkan dengan penggunaan perkataan-perkataan ini membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan seperti yang dicadangkan di atas.

Apa yang dibincang dan diperjuangkan sekarang adalah amat kabur dan jika mahkamah membuat keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah “Allah”, adakah sebarang tindakan yang boleh diambil jika masih ada pihak yang masih mahu menggunakannya? Adakah wujud undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah ini di dalam undang-undang negara ini sekarang? Jika tidak ada, maka umat Islam perlu perjuangkan BUKAN untuk tidak membenarkan pihak lain menggunakan kalimah “Allah” tetapi berjuang untuk penggubalan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas pihak yang menggunakan istilah-istilah Islam (termasuk “Allah”, “Rasul”, “masjid”, dan lain-lain) yang tidak menepati maksud atau pengertian perkataan-perkataan tersebut.

Saudara Zulkifli Nordin (YB) menyatakan bahawa telah wujud Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 298A (1) yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk bertindak ke atas pihak yang menyalahgunakan perkataan dan lisan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam keharmonian dan perpaduan umat. Dengan kewujudan akta ini, umat Islam perlu berjuang supaya akta ini digunakan bagi membendung segala penyalahgunaan kalimah oleh sebarang pihak dan BUKAN berjuang untuk tidak membenarkan pihak lain menggunakan kalimah “Allah”.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, bukan sahaja kalimah “Allah”, malah apa-apa perkataan lain yang digunakan dengan maksud dan pengertian yang salah perlu ditentang. Siapa yang menggunakannya (Islam atau bukan Islam) tidak menjadi satu isu, tetapi bagaimana ia digunakan yang menentukan salah atau betul penggunaannya. Jika orang bukan Islam menggunakan kalimah-kalimah Islam (“Allah”, “masjid”, dan lain-lain) untuk merujuk kepada sesuatu yang menepati maksud dan pengertian perkataan tersebut maka ianya tidak menjadi satu masalah dan tidak perlu ditentang. Sebaliknya, jika seorang Islam (atau bukan Islam) menggunakan kalimah tersebut bagi merujuk kepada sesuatu yang tidak menepati maksud dan pengertian perkataan tersebut maka ianya adalah satu kesalahan yang perlu ditentang.

Kalimah “Allah” mempunyai maksud dan pengertian yang amat jelas dan sebarang penyelewengan terhadap penggunaannya dapat dipantau dan dikesan dengan mudah. Oleh itu saya merayu ustaz-ustaz dan semua golongan Islam yang berpengetahuan supaya berhenti dari menyelar di antara satu sama lain dan kembali kepada asas masalah yang telah jauh dikaburkan oleh kekalutan kita sendiri.

Jika Herald-The Catholic Weekly atau sesiapa sahaja mahu menggunakan kalimah “Allah”, umat Islam perlu persilakan mereka menggunakan kalimah suci ini TETAPI ianya mestilah menepati maksud dan pengertian kalimah ini yang merujuk kepada “Satu-satunya Tuhan yang berhak disembah”, yang esa (tunggal), tiada beranak dan tidak diperanakkan dan tiada dari segala makhluk yang serupa denganNya. Jika penggunaannya tidak menepati maksud dan pengertian kalimah ini, umat Islam mempunyai hak mahkamah untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sekiranya tulisan saya ini dibaca dengan teliti, kita dapat simpulkan bahawa tiada siapa yang berhak secara mutlak atas apa-apa perkataan dan kita tidak dapat menghalang sesiapa pun dari menggunakan apa-apa perkataan atau kalimah TETAPI penggunaanya perlu menepati maksud dan pengertian perkataan tersebut. Mana-mana pihak yang menyalahgunakkannya perlu bertanggunjawap dan bersedia untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Jika ini yang menjadi landasan penghakiman atas isu ini, maka dengan sendirinya Herald-The Catholic Weekly atau mana-mana pihak yang berkepentingan menggunakan kalimah “Allah” (atau kalimah-kalimah lain) dengan maksud yang berbeza tidak akan dapat melakukannya dan segala penerbitan rasmi mereka dapat dipantau bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan perkataan bagi mengelirukan umat Islam. Pihak berkuasa dan umat Islam akan menjadi mata dan telinga dalam memastikan kalimah “Allah” terpelihara sepanjang masa. Fikir-fikirkan lah. Mudah-mudah Allah sentiasa melindungi kita dari fitnah dunia dan sentiasa mamanyungi kita dengan rahmat dan kasih-sayangNya. Amin

Ikhlas,
m.a yahaya
20-Jan-2010

No comments: