Tuesday, February 19, 2008

Kejadian Manusia

Maha Pencipta telah menceritakan kepada kita secara terperinci tentang kejadian kita di mana daripada tanah kita dicipta, kemudian dari setitik air benih (mani yang hina), kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan ada yang tidak disempurnakan (cacat). Ditetapkan pula tempoh masa kita dalam kandungan rahim ibu, kemudian kita dilahirkan ke dunia sebagai bayi, kemudian kanak-kanak, kemudian kita dipelihara hingga ke peringkat umur dewasa, ada yang dimatikan awal (semasa bayi, kanak-kanak atau dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua dan nyanyuk sehingga kita tidak mengetahui lagi apa yang kita ketahui sebelumnya.

Oleh itu, sekiranya kita merasa ragu-ragu tentang kebangkitan semula makhluk pada hari kiamat, cuba kaji dan perhati dengan teliti kepada tingkatan kejadian manusia ini dan proses kelahiran itu sendiri. Pertukaran dari alam rahim ke alam dunia membuktikan kepada kita kehidupan di alam yang berbeza adalah suatu yang nyata. Biarpun cara kehidupan, pemakanan, pernafasan, kenikmatan, kesakitan dan persekitaran yang jauh berbeza namun perkara yang sama wujud di kedua-dua alam yang nyata di hadapan kita. Tiada siapa dalam kandungan ibu akan memahami dan mempercayai alam dunia disebabkan oleh kemampuan fikiran yang amat terbatas semasa di alam rahim. Disebabkan tiada kemampuan berfikir, kita tidak dibebankan dengan pilihan di alam rahim.

Di alam dunia, setelah kita dilahirkan dari perut ibu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, kita membesar dan belajar dengan pendengaran, penglihatan serta hati (akal fikiran) yang telah dikurniakan kepada kita secara percuma. Kita menjadi orang yang bijak, berilmu dan mampu mentadbir kehidupan di dunia ini. Dalam kehidupan, kita dihadapkan dengan pilihan pada setiap waktu dan kita diberikan pedoman untuk diikuti sepanjang masa. Dengan ilmu dan kemampuan akal fikiran yang amat terbatas, kita tidak mampu memahami kehidupan seterusnya seperti mana kita tidak mampu memahami kehidupan dunia semasa kita di alam rahim. Dengan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran yang dikurniakan, kita diberi pilihan untuk mempercayai kehidupan seterusnya atau menafikannya. Kita juga diberi pilihan untuk hidup dengan mengikut atau melanggar perintah Pencipta kita, menjauhi atau melakukan larangan Maha Pencipta.

Kita mungkin bijak, gagah dan berkuasa tapi yang nyata dihadapan kita, setiap yang bijak, gagah dan berkuasa akan lemah dan tidak bermaya. Semua yang hidup pasti akan merasai mati. Fikir-fikirkan lah semoga kita berusaha untuk mendapatkan rahmat Maha Pencipta untuk kebahagiaan hakiki dan kehidupan yang kekal abadi di tempat yang dijanjikanNya.

Monday, February 18, 2008

Cerapan Undian Pra-Pilihanraya

Sila buat pilihan anda di kolum sebelah kiri. Sebarkan kepada rakan-rakan supaya sama-sama membuat undian. Undian ini akan ditutup menjelang pilihanraya sebenar pada 8-Mac-2008.

Saturday, February 16, 2008

Pilihanraya ke-12

Hormatilah saranan Dr Mahathir, jangan pilih calon BN yang rasuah

"Pemberi dan penerima rasuah masuk neraka." (mafhum hadis)

Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersuara lagi. Kali ini tentang rasuah. Dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan buku terbarunya, "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" (Surat Terpilih Dr Mahathir Kepada Para Pemimpin Dunia) beliau mahu penyokong BN tidak mengundi pemimpin yang "korup dan kayu mati" dalam pilihan raya umum ini.



Menurutnya, masa sudah tiba untuk "membersihkan kerajaan BN, khususnya parti tulang belakangnya, Umno" yang sudah semakin parah dihinggapi barah rasuah.

Usaha ini, tegasnya perlu kerana BN nampaknya tidak mungkin dapat membersihkan dirinya sendiri. Beliau menambah, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti akan dikekang.

Itu saranan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN yang telah menerajui pentadbiran negara lebih dari dua setengah dekad (24 tahun)!

Dan sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Dr Mahathir mengakui telah memberi amaran, merayu malah menangis di atas pentas Perhimpunan Agung Umno supaya budaya membeli undi, politik wang dan rasuah dihapuskan dalam Umno. Bagaimanapun amaran, rayuan dan ratapan beliau tidak langsung diendahkan para perwakilan Umno kerana masing-masing sudah basah lencun disimbah gelombang rasuah!

Apa yang mendukacitakan Dr Mahathir, beliau juga kalah dalam mendapatkan tempat sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu kerana rasuah.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangkakan perkara ini akan berterusan sewaktu pilihan raya umum," katanya.

Bagi Dr Mahathir, seluruh perwakilan Umno yang memenuhi PWTC setiap kali persidangan Umno berlangsung tidak lagi boleh dipercayai kerana gagal membersihkan Umno daripada amalan rasuah. Baginya, Umno tidak lagi berupaya untuk membersihkan diri daripada rasuah seperti mana gagalnya tokoh-tokoh agama Umno untuk menjadikan parti itu sebagai 'parti yang beragama'. Maka jelaslah bahawa teori "membersihkan tong tahi dari dalam" tidak langsung menampakkan hasil seperti gagalnya Anwar Ibrahim dan para sahabatnya untuk "mengislamkan Umno dari dalam".

Maka Dr Mahathir merayu kepada para penyokong setia Umno dan BN - yang tidak terlibat dengan rasuah - untuk membantu membersihkan Umno dan BN daripada rasuah.

Ketika pentadbiran Abdullah dilihat lemah dalam usaha membanteras rasuah dan di saat institusi pembanteras rasuah seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga terlibat dalam rasuah dan melindungi perasuah (lihat kenyataan bekas setiausaha 'peguam mabuk' VK Lingam dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Pita Lingam), tiada pilihan bagi rakyat khususnya penyokong BN selain menolak calon-calon rasuah dalam pilihan raya umum ini.

Memang ada usaha di kalangan pemimpin Umno/BN untuk mengaburi mata rakyat dengan mendakwa calon-calon BN telah pun ditapis oleh BPR dan bersih daripada rasuah; tetapi adakah kita boleh mempercayai sebuah badan pembanteras rasuah seperti BPR yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan kredibiliti dan komitmen pentadbiran Abdullah dalam membanteras rasuah diragui rakyat.

Lihat sajalah kesudahan kes rasuah bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia. Apa jadi dengan 18 kes rasuah berprofail tinggi yang diumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Rais Yatim yang pada penggal kedua pentadbiran Abdullah ditukar portfolio ke Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (Kekkwa)? Bagaimana pula kes dakwaan rasuah membabitkan Ketua Pengarah BPR dan Ketua Polis Negara yang masing-masing dibebaskan dari sebarang dakwaan oleh polis (yang menyiasat Zulkifli Mohd Nor) dan BPR (yang menyiasat Musa Hassan).

Adakah kita tidak mendapat pengajaran daripada kegagalan polis mengesan individu yang melebamkan mata Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan; sehingga satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan dan mendapati penjenayah itu ialah Ketua Polis Negara sendiri (Tan Sri Abdul Rahim Nor)?

Kita boleh menyenaraipanjangkan kes-kes rasuah yang masih tersimpan dalam 'fail X' negara termasuk pengagihan saham bumiputera kepada menantu Ketua Wanita Umno yang masih lagi bersemangat untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar. Tetapi jika rakyat masih bersikap sambil lewa dalam usaha membanteras dan membasmi rasuah - barah ini akan terus membelenggu negara.

Mungkin ramai penyokong BN yang menganggap kempen PAS dan BA untuk menyelamatkan negara daripada rasuah sebagai 'cakap-cakap politik' bagi meraih kuasa. Bagaimanapun jika seruan itu datang daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN - yang telah menerajui kerajaan lebih dua dekad lamanya - ia perlu dipandang serius oleh rakyat!

Dr Mahathir bercakap tanpa sebarang kepentingan; malah kedudukan beliau sebagai penasihat beberapa GLC boleh tergugat apabila membangkitkan isu ini. Beliau mungkin gagal membanteras rasuah ketika memegang kuasa. Tetapi berilah peluang untuknya membersihkan negara daripada rasuah setelah melihat betapa jijiknya amalan itu ketika tidak lagi berkuasa.

Kepada para penyokong BN, hormatilah saranan Dr Mahathir.

Jangan pilih calon rasuah!

Selamatkan negara daripada pemimpin rasuah!

Wednesday, February 13, 2008

Sujud Syukur

1) PENGERTIAN SUJUD SYUKUR

Sujud syukur dari segi syarak ialah suatu sujud (sujud terima kasih) yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau terhindar dari bencana.

Perkataan syukur bermaksud pengakuan ke atas kebaikan yang diberikan kepada seseorang. Terjemahan dalam Bahasa Melayu ialah ucapan terima kasih.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya faedahnya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, (tetapi) sesiapa yang kufur ( tidak bersyukur) (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji"

(Surah Luqman : 12)


Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa seorang hamba yang mendapat nikmat atau terhindar daripada suatu kecelakaan atau dengan erti kata lain ianya boleh dianggap sebagai kesan nikmat. Kesan nikmat akan nampak dan terlaksana dalam kehidupan seorang insan menerusi lisan (perkataan), hati (perasaan) dan perbuatan. Ertinya ketika seorang hamba itu menerima nikmat daripada Allah SWT, atau mendapat berita yang menggembirakan, maka lisannya akan berikrar dan sedar bahawa nikmat yang ia dapat itu datangnya daripada Allah SWT. Maka, hendaklah ia bersyukur sambil mengucapkan Alhamdulillah memuji-muji Allah SWT. Manakala hatinya akan menjadi lapang, tenteram, damai serta sejahtera, mengakui dengan kebaikan-kebaikan yang telah diterima tersebut. Dengan demikian, kesan nikmat itu akan mengubah tingkah lakunya untuk sentiasa melaksanakan perkara-perkara yang diredhai Allah SWT.

Sebagaimana hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi bermaksud:

"Dari Abu Bakrah r.a bahawasanya Nabi s.a.w. apabila telah datang kepadanya suatu urusan yang menyenangkannya atau beliau gembira kerana sesuatu, beliau sujud ke tanah sebagai berterima kasih kepada Allah SWT."

(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi)

Abdurrahman bin 'Auf menceritakan bahawa suatu ketika beliau melihat Nabi SAW mengadap kiblat iaitu bersujud dengan sujud yang panjang sehingga kata Abdurrahman bin 'Auf : "Aku menyangka bahawa Allah telah mencabut nyawa baginda ketika itu. Lalu aku mendekati baginda dan duduk di sisi baginda. Maka baginda mengangkat kepalanya dan berkata: Siapa ini? Abdurrahman, jawabku. Baginda bertanya lagi: Apa kamu buat di sini? Aku menjawab: Wahai utusan Allah tuan telah bersujud dengan suatu sujud yang mengkhawatirkan aku kalau-kalau Allah telah mencabut nyawa tuan di dalam sujud tersebut, maka baginda berkata: Sesungguhnya Jibril 'alaihissalam tadi datang kepadaku dan menggembirakan aku, katanya:

Sebagaimana hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi bermaksud :

"Diriwayatkan oleh Ahmad dari hadis Abdurrahman Ibn "Auf (ra) bahawasanya Jibril berkata kepada Nabi SAW : Allah Taala berfirman : Sesiapa yang bersalawat ke atas kamu, aku (Allah Taala) akan berselawat ke atasnya dan sesiapa memberikan salam kepada kamu, Aku ( Allah Taala) akan memberikan salam kepadanya."

Selain daripada itu banyak riwayat yang menceritakan bahawa ramai di antara para sahabat yang melakukan sujud syukur seperti:

Abu Bakar al-Siddiq. Beliau bersujud syukur ketika mendengar khabar terbunuhnya Musailamah al-Kazzab dalam pertempuran menumpas kaum murtad di Bandar al-Yamamah.

Ali bin Abi Talib bersujud syukur ketika mendapati bahawa Za'al al-Tsadyah di antara orang-orang yang terbunuh di kumpulan al-Khawarij.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Ka'ab bin Malik telah bersujud ketika sampai kepadanya berita bahawa Allah telah menerima taubatnya.

Disini dapatlah dikatakan bahawa sikap syukur itu lebih merupakan suatu tindakbalas seorang hamba ketika diberikan suatu nikmat oleh Allah SWT atau mendapat berita yang menggembirakan atau terhindar dari bahaya kepada suatu amalan yang sifatnya ketaatan kepada Allah.


2) SEBAB-SEBAB SUJUD SYUKUR

Secara umumnya sujud syukur itu dilakukan apabila seorang hamba itu mendapat nikmat atau terhindar dari suatu bencana atau mendapatkan kembali sesuatu yang telah hilang atau selamat dari marabahaya.

Dalam hal ini hukum sujud syukur menurut mazhab Syafii dan Hanbali adalah sunat, sama ada nikmat yang diperolehi atau bencana yang dialami itu khas bagi dirinya atau am bagi semua umat Islam, seperti kemenangan ke atas musuh, hilangnya wabak yang merbahaya dan sebagainya. Tetapi terdapat suatu pandangan di kalangan mazhab Hanbali bahawa sujud syukur hanya dilakukan bagi nikmat yang sifatnya umum untuk semua umat Islam dan bukan untuk nikmat yang khas.


3) SYARAT-SYARAT SUJUD SYUKUR

Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali disyaratkan sepertimana hendak melakukan solat iaitu thaharah, suci daripada hadas kecil ataupun besar, mengadap kiblat dan menutup aurat.


4) KAIFIAT SUJUD SYUKUR

Cara pelaksanaanya adalah sebagai berikut:

1) Mengadap kiblat

2) Bertakbir kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa sujud di dalam solat.

3) Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud, kemudian salam tanpa membaca doa tasyahud (untuk salam boleh dilakukan sekali).


5) HUKUM SUJUD SYUKUR DI DALAM SOLAT

Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali bahawa sujud syukur tidak dibenarkan dilakukan di dalam solat kerana ianya termasuk dalam katogeri sujud di luar solat. Apabila dikerjakan maka solatnya dianggap batal kecuali dalam keadaan jahil atau lupa.


6) HUKUM SUJUD SYUKUR PADA WAKTU YANG DILARANG MENGERJAKAN SOLAT

Makruh hukumnya mengerjakan sujud Syukur pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar. Meskipun pada ketika itu berlaku sebab-sebab yang membolehkan mengerjakan solat sunat. Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur ketika mendengar khutbah Jumaat.


7) RUKUN SUJUD SYUKUR

1) Berniat untuk sujud syukur

2) Membaca takbiratul ihram ketika hendak sujud

3) Satu kali sujud

4) Memberi salam sesudah sujud


8) PENUTUP

Mudah-mudahan akan dapat sama-sama laksanakan sujud syukur ini dalam kehidupan kita seharian sebagai salah satu lambing ketaatan dan kesyukuran kita kepada Allah SWT, pemberi rezeki dan segala nikmat yang melimpah ruah.

Bangi Dari Satelit

Kepada Allah sujud segala yang ada di langit dan di bumi, semua makhluk yang hidup, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang, malaikat-malaikatNya serta ramai di kalangan manusia. Dan mereka tidak menyombong diri. Dari ketinggian kira-kira 5000 kaki, kita dapat melihat betapa benarnya ketundukan makhluk kepada Penciptanya. Segalanya begitu indah dan tersusun atur dengan sempurna. Kita juga dapat merasa betapa kerdilnya kita di hadapan Allah, Maha Pencipta.

Anak

Anak-anak adalah amanah dari Allah kepada manusia. Mereka juga merupakan ujian yang besar kepada ibubapa. Ujian ketika bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa. Ujian yang kadang kala terlalu berat untuk dihadapi terutama apabila kelahiran bayi yang kurang sempurna. Setiap peringkat pembesaran mereka adalah ujian kepada ibubapa. Kita sering terfikir yang kita akan lebih selesa apabila mereka sedikit membesar tetapi sejarah membuktikan sebaliknya. Mereka adalah amanah dan ujian dari Maha Pencipta kepada hamba-hambanya dan Allah telah menyediakan pembalasan yang baik bagi mereka yang dengan jujur, taat dan istiqamah dalam menjunjung amanah ini.

Bunga

Antara tanda-tanda kebesaran Allah. Turunnya air hujan dari lagit dan menghidupkan bermacam-macam tumbuhan dari pelbagai jenis, warna, bau dan rasa. Dari air yang sama, tanah yang sama. Begitu jugalah manusia akan dibangkitkanNya semula untuk diperhitungkan amalan dan diberikan pembalasan.



Namnam - Tidak ramai yang pernah merasainya

Mungkin ramai yang tidak pernah melihat buah ini apatah lagi merasainya. Pernahkah anda?

Cantik dan Banyak Manfaat

Cili Padi. Enaknya bila dibuat sambal, ditambah tempoyak dan dimakan bersama petai.



Gelang Perubatan - Apa Hukum memakainya?

Artikel ini dipetik dari Fikrah harakah. Seperti mana-mana hukum lain yang sering menjadi bahan perdebatan, pandangan ini tidak lain hanyalah untuk memberikan sedikit suntikan kesedaran supaya kita sentiasa melakukan sesuatu berpandukan ilmu dari orang-orang yang alim. Di zaman yang amat mencabar ini, kita sentiasa terdedah kepada berbagai-bagai ujian yang kadang kala amat sukar untuk kita membezakan antara hak dan batil, benar dengan salah. Fikir-fikirkan lah dan buat lah kesimpulan sendiri dengan doa semoga Allah sentiasa memelihara kita dan keluarga agar sentiasa mematuhi perintah dan laranganNya.