Oleh itu, sekiranya kita merasa ragu-ragu tentang kebangkitan semula makhluk pada hari kiamat, cuba kaji dan perhati dengan teliti kepada tingkatan kejadian manusia ini dan proses kelahiran itu sendiri. Pertukaran dari alam rahim ke alam dunia membuktikan kepada kita kehidupan di alam yang berbeza adalah suatu yang nyata. Biarpun cara kehidupan, pemakanan, pernafasan, kenikmatan, kesakitan dan persekitaran yang jauh berbeza namun perkara yang sama wujud di kedua-dua alam yang nyata di hadapan kita. Tiada siapa dalam kandungan ibu akan memahami dan mempercayai alam dunia disebabkan oleh kemampuan fikiran yang amat terbatas semasa di alam rahim. Disebabkan tiada kemampuan berfikir, kita tidak dibebankan dengan pilihan di alam rahim.
Di alam dunia, setelah kita dilahirkan dari perut ibu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, kita membesar dan belajar dengan pendengaran, penglihatan serta hati (akal fikiran) yang telah dikurniakan kepada kita secara percuma. Kita menjadi orang yang bijak, berilmu dan mampu mentadbir kehidupan di dunia ini. Dalam kehidupan, kita dihadapkan dengan pilihan pada setiap waktu dan kita diberikan pedoman untuk diikuti sepanjang masa. Dengan ilmu dan kemampuan akal fikiran yang amat terbatas, kita tidak mampu memahami kehidupan seterusnya seperti mana kita tidak mampu memahami kehidupan dunia semasa kita di alam rahim. Dengan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran yang dikurniakan, kita diberi pilihan untuk mempercayai kehidupan seterusnya atau menafikannya. Kita juga diberi pilihan untuk hidup dengan mengikut atau melanggar perintah Pencipta kita, menjauhi atau melakukan larangan Maha Pencipta.
Kita mungkin bijak, gagah dan berkuasa tapi yang nyata dihadapan kita, setiap yang bijak, gagah dan berkuasa akan lemah dan tidak bermaya. Semua yang hidup pasti akan merasai mati. Fikir-fikirkan lah semoga kita berusaha untuk mendapatkan rahmat Maha Pencipta untuk kebahagiaan hakiki dan kehidupan yang kekal abadi di tempat yang dijanjikanNya.
No comments:
Post a Comment